‘Nak Isteri Saya Balik’- Kemalangan Paling Menyayat Hati

Thursday, 23 August 2012 | 1 (+)


REMUK... bahagian depan kereta mangsa hancur selepas bertembung dengan lori ais. Gambar kecil Maisarah.
REMUK... bahagian depan kereta mangsa hancur selepas bertembung dengan lori ais. Gambar kecil Maisarah.

PILU... Uda tidak dapat menahan kesedihan.
PILU... Uda tidak dapat menahan kesedihan.

KOTA BHARU: “Saya nak isteri saya balik,” kata Uda Sarimin, 31, suami Maisarah Mohd Ali, 34, yang maut bersama dua anaknya berusia empat dan tujuh tahun dalam nahas ngeri di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Pak Badol, Melor, di sini, semalam.

Kesedihan Uda tidak boleh dibendung lagi kerana beberapa jam sebelum kejadian, ketiga-tiga insan tersayang menghantarnya ke lapangan terbang, malah nahas berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, Maisarah yang memandu Perodua Viva dikatakan gagal memotong kenderaan di depannya sebelum bertembung dengan sebuah lori ais yang datang dari arah bertentangan.

Kemalangan itu mengakibatkan mangsa bersama anaknya, Zakiah Hanim Uda, 4, mati di tempat kejadian manakala anak bongsunya, Rasyidah, 2, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian akibat cedera parah di kepala.

Anak saudaranya, Aisyah Shakilah Mohd Zukri, 7, cedera parah di kepala serta patah kedua-dua kaki dan menerima rawatan Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM. Pemandu lori, Adnan Jusoh, 38, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab Rahim Che Ghani berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Selinsing, Pasir Puteh selepas menghantar suaminya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.


“Setiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan cuba memotong kenderaan di depannya tanpa menyedari sebuah lori datang dari arah bertentangan.
 “Mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh lori,” katanya.
Katanya, mangsa dan anaknya berusia tujuh tahun maut di tempat kejadian selepas tersepit di kerusi depan, manakala anaknya berusia dua tahun meninggal dunia di hospital dan anak saudaranya cedera parah.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, seorang saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, suami mangsa pulang dari Putrajaya ke Kelantan bersama isteri dan dua anaknya untuk menghantar keluarganya berhari raya dengan kereta sebelum terpaksa pergi ke Johor atas urusan kerja pada hari sama dengan kapal terbang.

“Mereka tiba di kampung jam 2.30 pagi dan tidak tidur sementara menunggu sahur.

Mangsa bersama dua anak dan seorang anak saudaranya menghantar suami ke lapangan terbang sebelum kemalangan berlaku dalam perjalanan pulang,” katanya.
Dalam pada itu, suasana sedih menyelubungi perkarangan bilik mayat HUSM apabila ahli keluarga terdekat, termasuk Uda, datang menuntut mayat isteri dan dua anaknya pada jam 1 tengah hari.

Uda yang kelihatan lemah dan menangis teresak-esak terpaksa diusung dengan kerusi roda sebelum dipapah dan ditenangkan oleh ahli keluarga.

Usaha media mendapatkan komen Uda gagal selepas dia kelihatan masih terkejut dengan kejadian yang menimpa keluarganya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Azmi Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.02 pagi dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian dengan sebuah jentera dan lima anggota dengan bantuan Bomba Ketereh dan Pasir Puteh.